Translate

Saturday, 15 March 2014

RUMAH KELAHIRAN TUN MAHATHIR









Rumah Kelahiran Tun Mahathir merupakan salah satu bangunan bersejarah di Negeri Kedah dan dikelolakan oleh Jabatan Arkib Negara Malaysia. Ia terletak di Jalan Pegawai, berdekatan lampu isyarat simpang empat Seberang Perak dan bersebelahan Kilang Ais Lama. 

Beberapa buah rumah yang diperbuat dari kayu dan berkonsepkan rumah tradisional, dibina di sini dan masing-masing berfungsi sebagai balai pameran, auditorium, surau dll. Beberapa wakaf juga disediakan sebagai tempat berteduh dan merehatkan diri. 




Pengunjung boleh menghayati pelbagai barangan dan fakta sejarah yang dipamerkan. Terdapat juga catatan dan gambar-gambar yang menceritakan tentang sejarah keempat-empat bekas Perdana Menteri Malaysia sejak Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia Pertama). Barangan-barangan lama yang digunakan oleh Tun Dr Mahathir semasa kecil hingga meningkat dewasa juga dipamerkan kepada pengunjung. 

Pelbagai replika dipamerkan di sini antaranya replika tong padi dan sebuah lanca. Tong padi suatu ketika dulu di gunakan sebagai alat untuk mengasingkan padi dari tangkainya. Ia dilakukan dengan cara seberkas tangkai padi dipegang kemudian dihempas dengan kuat pada kayu yang ada dalam tong padi. Dengan cara ini, biji padi akan terlerai dari tangkainya. Lanca pula adalah sejenis alat pengangkutan yang digunakan pada suatu masa dulu. 

Selain dari balai pameran, sebuah kilang ais lama yang sudah tidak digunakan juga telah dibaikpulih menjadi muzium. Di dalamnya dipamerkan bagaimana kilang ais itu beroperasi termasuk alatan-alatan yang telah digunakan untuk membuat dan memproses ais suatu ketika dulu. Semasa memasuki kilang, secara automatik skrin tv didalam kilang akan memainkan audio video yang memaparkan sejarah dan bagaimana kilang ais ini beroperasi. 

Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai barang untuk kenangan di sebuah Kedai Cenderamata yang disediakan 


Waktu Lawatan
Hari : Selasa - Ahad 
Masa : 10.00 pagi - 5.00 petang 

Hari : Jumaat 
Masa 1 : 10.00 pagi - 12.00 tengahari
(rehat untuk Solat Jumaat)
Masa 2 : 3.00 petang - 5.00 petang 

Hari Cuti
Ditutup pada hari Isnin
kecuali hari Cuti Am atau Cuti Sekolah. 

Bayaran Masuk
PERCUMA 

No comments:

Post a Comment